18 April 2012

Ada Apa Di Alor Setar 'Tu?




Saya mengenali Alor Setar sejak di sekolah rendah. Seingat saya, ayah akan membawa saya ke ibu negeri Kedah itu setiap kali hendak membeli pakaian baru atau keperluan lain. Kalau tidak setiap 3 bulan, sekurang-kurangnya setahun 2-3 kali juga saya dibawa ayah. [Hujung 1960-an dan awal 1970-an, sekali boleh ke Alor Setar, boleh dicanang seminggu dua di kalangan rakan-rakan....]

Sepagian kami menapak dalam bandar - dari Jalan Langgar ke Pekan Rabu, ke Pekan Melayu, ke Pekan Cina dan pasti berakhir di Pasar Besar Alor Setar di Seberang Perak - membeli ikan dan sayur. Kemudian menapak lagi ke Jalan Pegawai, menunggu bas MARA berhampiran simpang Jalan Kota Tanah, untuk pulang.

Semasa dalam darjah enam, guru kelas saya, arwah Cikgu Hamzah Jaafar telah membawa kami sekelas ke rumahnya di jalan Kuala Kedah, berhampiran Masjid Aman sekarang. "Beritahu emak ayah, cikgu 'nak bawa kamu semua melawat Alor Setar!," pesannya. Saya ketawa mendengarnya.

Di rumah saya berkongsi ketawa dengan ayah. Mungkin ayah kawan-kawan sekelas pun begitu. Hendak melawat Alor Setar? Apa yang mahu dilawati?

Kerana wajib pergi, saya ikut serta. Bukan sewa bas macam rombongan biasa. Kami berkumpul di Sekolah Kebangsaan Kangkong pada paginya dan menaiki bas penumpang biasa. Bayangkan kemeriahan menaiki bas sekelas bersama penumpang lain. Waktu itu memang ada bas dari Yan yang akan memasuki Kuala Kangkong sebelum meneruskan perjalanan ke Alor Setar. Begitu juga sewaktu perjalanan sebaliknya.

Kami turun di hadapan SMK Tunku Sharifah Rodziah. Masa itu Masjid Aman pun belum ada. Kemudian berderet kami ke rumah Cikgu Hamzah. Selepas makan, kami dibawa melawat Alor Setar! Istana Anak Bukit yang pertama dan paling diingati. Petangnya kami pulang dan kali ini murid lelaki ditempatkan di rumah keluarga Cikgu Hamzah 500 meter masuk ke jalan Taman Sofia sekarang. Taman itu belum wujud rasanya ketika itu.

Malamnya, selepas Maghrib, kami pergi pula ke Pesta Kedah di Kanchut. Perjalanan pergi balik rombongan bersama cikgu itu adalah dengan menaiki Bas Bandaran Alor Setar. Dua hari satu malam kami bersama. Banyak tempat yang kami lawati. Banyak rupanya yang kami tidak tahu tentang Alor Setar. Melopong juga mulut ayah ketika saya menceritakan tentang tempat-tempat itu.


Sepanjang masa di bawah pengawasan cikgu itu, semua makan minum, tempat tinggal dan tambang menambang ditanggung oleh Cikgu Hamzah. [Adakah lagi cikgu spesies itu sekarang? Air mata bergenang mengingat cikgu Hamzah - ketika mencatat ini pun - semoga rohnya sentiasa dirahmati - beliau meninggal ketika saya dalam tingkatan satu.(1974)


Dari situlah saya belajar. Kiranya ada beza antara melawat dengan melihat-lihat.

Ramai yang pernah melihat Balai Nobat serta Muzium Diraja/Balai Besar, namun berapa orang yang pernah masuk ke dalamnya dan diberi taklimat tentangnya?

Ramai yang lalu atau masuk ke dalam Masjid Zahir namun berapa orang yang kisah tentang sejarah pembinaan serta senirekanya?

Bulatan Teluk Wanjah
Beribu orang mengelilingi Bulatan Teluk Wanjah (dulu) namun siapakah yang peduli tentang binaan berbentuk mahkota di tengah-tengahnya? Apakah motif bagi binaan yang sedemikian - pernah pula menjadi mercu tanda Alor Setar? (Bagi makluman kepada yang telah lama meninggalkan Alor Setar, bulatan itu telah tiada di tempat itu. Memberi laluan kepada jejambat merentasi rel keretapi. Binaan berbentuk mahkota itu telah dipindahkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas)

Makam kerabat diraja Kedah
Malah kampung kelahiran kita juga ada sejarah dan daya penariknya. Tetapi kerana terbiasa, kita tidak peduli dan ambil tahu.

Demikianlah halnya apabila AlFalah membuat perancangan melawat Alor Setar. Berulang pesimis dan sinis yang pernah saya alami berbelas tahun sebelumnya. Lawatan anjuran Guru Sejarah itu diketawakan. Ada  -kebanyakannnya orang yang tinggal di sekitar sekolah - serta-merta menjawab tidak mahu menyertainya. Alasannya pelbagai. Yang paling popular ialah Alor Setar tidak ada apa-apa.

 [Teringat kami pernah membawa pelajar asrama berjalan-jalan melihat laut di sekitar Alor Pulai hingga Kuala Kangkong. Ramai yang tersenyum mendengarnya. Mereka lupa, putera-puteri dari Baling dan Pendang tentulah tidak pernah menghidu aroma pantai berselut ........Bayangkan berapa peratus rakyat Laos pernah melihat pantai secara live? Orang Kangkong dan Alor Pulai pun ada yang tidak pernah melihat mesin getah dan pokok kelapa sawit secara berdepan! Demikianlah kita dengan susuk pengalaman dan geografi yang berbeza. Keberuntungan manusia tidak pernah sama.]

Namun kami berjaya juga mengumpulkan anak-anak AlFalah untuk memenuhkan sebuah bas. Banyak tempat yang dilawati dalam sehari suntuk itu. Semuanya diakui memberi pengalaman dan perspektif baru kepada pelajar hatta guru pengiring.

Paling berkesan kepada saya ialah lawatan ke Makam Diraja, Langgar.

Setelah menunjukkan surat izin melawat, kami dipandu oleh seorang pekerja di situ untuk menziarahi sekitar makam - disertakannya beberapa pantang baik di segi perbuatan dan percakapan.

Di situlah kami melihat makam Sultan-sultan Kedah, makam bonda Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (Che Manjalara binti Long Naraburi Rak) serta kerabat-kerabat lainnya.(Diceritakan serba sedikit riwayat hidup mereka serta susur galur keluarga diraja Kedah)

Makam Che Manjalara
Menariknya diceritakan tentang Almarhum Makan Dedak. Dikatakan pada zaman pemerintahan baginda, orang-orang kaya memakan dedak. manakala rakyat biasa memakan beras yang dipanggil tulang. Kiranya dedak adalah makanan eksklusif.




Dibawa juga ke makam kerabat diraja yang dikatalan berpihak kepada Raja Siam, dimakamkan di luar kawasan makam utama, namun kerana perubahan waktu dan pertambahan keluasan, makam tersebut kini berada di dalam kelompok yang sama.


Banyak lagi maklumat yang diberi dan dicatat oleh pelajar - sebanyak anggukan dan sebutan 'o' di mulut mereka.

Pada hujung taklimat, suasana tiba-tiba menjadi kelam-kabut apabila seorang pelajar pengsan di sebelah satu makam. agak jauh dari tempat kami berkumpul.. Apakah dia telah melakukan sesuatu yang melanggar arahan pemandu kami itu? Ia kekal misteri hingga kini........


3 comments:

yayacomey said...

andai dapat ku undurkan waktu.... alaahaaiiiii touching tol lah kenangan nie....

yayacomey said...

Ia terbenam di celah-celah kenangan
ditelan masa, disisih kehidupan
ia adalah negeri tercantik dan sayu
apabila kita pulang dengan mimpi dan rindu

Anonymous said...

Saya ada dalam rombongan itu.... aduh.. terima kasih atas kenangan, terutama di makam itu.....