8 April 2012

Hantu Punya Hantu 2

Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang berulangnya histeria di kalangan pelajar puteri AlFalah.Gejala misteri tersebut lebih ketara menjelang waktu senja. Ketika ini tentulah puteri asrama yang menjadi mangsanya. Antara yang paling kerap diserang adalah Mariam Hj Awang (Mak Yam) kakak kepada Paksu Yeh (Elias). Pernah sekali berhampiran kami dia tumbang apabila nampak seekor burung amat besar, ceritanya setelah pulih.

Pengamal perubatan saling bertukar namun keadaan tidak juga banyak berubah. Akhirnya Cikgu Rahim memperkenalkan bapa saudaranya , Md Isa Shafie (Paktam Cha), yang tinggal di Permatang Bendahari, Seberang Perai.

Kaedah perubatan Paktam Cha agak menarik. Ketika membaca rukyahnya , dia boleh bertukar menjadi beberapa watak. Ada ketika serius dan pada ketika lain agak melucukan. Antara yang masih diingat, dia akan menyebut,
            Assalamu'alaikum Siti Fatimah, Siti Zainab......
dengan rentak tersendiri. hingga beberapa lama kemudian menjadi ajukan ramai pelajar asrama. Dalam tengah berubat itu, ada masa rehat pula, lalu dilafaznya, "kita minum dulu......" Selepas minum dan berbual biasa, dia akan membaca rukyahnya semula dan 'jadi' semula.

Semasa 'menjadi' itulah dia kan menyebutkan apa yang perlu dilakukan atau apa yang diperlukan untuk sesi seterusnya, jika masalah berterusan. Untuk keadaan di sekolah AlFalah,  diperlukan antaranya padi yang digoreng serta air kolah masjid (mesti yang dicelup tangan oleh jemaah) daripada 35 buah kolah. Syarat-syarat lain tidaklah sukar, namun untuk mencari air kolah masjid itu bagi kami amatlah payah kerana kebanyakan masjid menggunakan air paip terus untuk jemaah berwuduk.

Tiba-tiba Paktam Cha menjerkah. Katanya, "Ali tahu mana nak cari!" Ali merujuk kepada lam (orang tengah) yang mentafsir setiap kata atau permintaannya. Ali semasa itu siapa lagi kalau bukan anak saudaranya, Cikgu Rahim. Kami angguk faham. Kecut juga disergah di tengah-tengah malam......

Satu keistimewaan Paktam Cha ketika merawat ialah menyatakan sikap atau perangai atau keadaan sebenar seseorang. Misalnya ketika 'menjadi' dia pernah menunjukkan seorang budak untuk keluar dari lingkungan kami. "Kenapa?" tanya lamnya. "Dia tak bersunat lagi!" jawabnya. Budak yang ditunjukkan tadi tersipu, bangun ke luar. Berminggu jugalah dia menjadi bahan ejekan kawan-kawan seasrama. Ketika lain, dia menghalau seorang budak. "....dia kencing tak basuh masa nak masuk tadi....." Riuhlah suasana, tersipu pula yang empunya badan.

Ada satu kes, ketika ditanya oleh seorang waris akan hal anak gadisnya yang sentiasa tidak sihat. Paktam berkata makcik terbut gagal membayar nazar. Nazarnya, akan meletakkan anaknya di dalam buaian di atas pucuk kelapa sekiranya beroleh anak perempuan. Setelah berfikir lama, makcik mengakui pernah bernaazar begitu.

Atas pucuk kelapa? Mudah saja. Semasa anak di dalam buaian, letakkan kelapa yang baru tumbuh di bawahnya. Selesailah nazar.  Hingga hari ini saya tidak tahu adakah nazar itu ditunaikan memandangkan anaknya ketika itu sudah di Tingkatan Empat AlFalah. Nasib buaian.......

Satu lagi yang sangat saya ingat, semasa minum dia menuduh seorang guru sebagai playboy.........Adakah patut? Kalau 'tuduhan' bab lain tepat, bagaimana pula kali ini? Kami, guru-guru tersengih........

Tunggu Hantu Punya Hantu 3

1 comment:

Anonymous said...

Bila nak sambung ni?