Mendapat emel daripada 5 orang pembaca blog ini pada hari
Jumaat 1 Mac adalah hadiah harijadi yang cukup bererti. Semuanya sertakan cadangan di samping mengucap tahniah. Terima kasih. Setiap cadangan - termasuk meminta Budak Falah turut mencoret/mencatat di sini - amat saya hargai dan secara automatik saya laksanakan. Budak Falah, kalau mahu, tulislah! Kalau sesuai, kita terbitkan.....
Harijadi?
Ya. Sudah setahun blog ini beroperasi.
Kalau anda perhatikan pada ruang YANG DOK ADA di sebelah
kanan itu, pada tahun 2012, entri untuk bulan Februari hanyalah SATU. Ia
sekadar satu pemberitahuan:
Ini
sekadar cerita putih saya. Hakikatnya pandangan/pengalaman setiap orang di
AlFalah berbeza. Nama-nama yang saya sebut di blog ini benar wujud. Sekiranya
nama anda tidak termasuk, maafkanlah. Daya ingatan makin menipis. Sekiranya
terdapat nama dan anda tidak meredainya, maafkanlah. Janganlah bazirkan masa
sampai saman-menyaman........saya Cipher.
Salah satu ertinya ialah kosong. Nil.
Saya
sayang semua budak Falah. Tapi sebagai manusia, saya tak mungkin menyenangkan
hati semua. Kepada yang terguris, tergigit, terluka dan terpatah hati
bersangkutan dengan saya, maaf saja yang mampu saya pohon. Semoga semua budak
Falah yang pernah mengenali saya berbahagia di sini dan di sana.....
(Apa yang saya tulis ini tidak mengikut
kronologi -- hanya mengikut yang melintas di benak.)
Sebanyak 111 patah kata saya gunakan. Muncul di skrin buat
pertama kali pada jam 1.19 tengah hari. 29 Februari 2012.
Itulah permulaannya. Perjalanan beribu batu bermula dengan
langkah pertama, kata satu pepatah Tiongkok.
29 Februari?
Ertinya, kalau mengikut tarikh itu, empat tahun sekalilah
tepatnya tarikh lahir blog ini. Kalau mahu saya boleh menukarkan - edit -saja tarikh itu kepada 28 Februari
atau 1 Mac. Biarlah. Mungkin ada
hikmahnya. Mudah sedikit - serta jimat -
merayakan hari jadi 4 tahun sekali. Sama dengan Sukan Olimpik. Berlaku pada tahun lompat. Ada 29 hari dalam bulan Februari. Di AlFalah,
saya paling teringat pada rungutan tidak dapat menyambut hari jadi ‘macam orang ‘ oleh NorAzimah Ahmad – dari Sungai Nonang. Dia dilahirkan pada 29 Februari…..
Entri yang paling banyak dibaca sepanjang kewujudan blog ini
adalah ………dan adik-beradiknya, terbitan 24 Mac 2012. Mungkin kerana ramai yang
ingin menyemak nama sendiri atau rakan-rakan yang pernah muncul secara bersaudara kandung di bumi AlFalah.
Entri yang terbanyak dibaca dalam satu hari - sebaik terbit -
adalah Kenduri Terakhir. Sah, anak bangsa saya amat terpancing jika
ada perkataan TERAKHIR pada sesuatu judul.
Tidak hairanlah banyak sekali drama tv sengaja memilih perkataan itu lalu
melonjaklah jumlah penontonnya. Sekadar beberapa contoh: Sejadah Terakhir, Salam Terakhir, Raya Terakhir, Takbir
Terakhir, malah Makmum Terakhir. Semuanya
mengundang sebak pada penamatnya. Rosyam Nor adalah cukup bijak dalam hal ini. Cari penulis
skrip, buat cerita, lakon dan terbitkan sendiri – kena pula musim raya…. Kaya
dia, kayalah juga tauke NTPM [Nibong Tebal Paper Mill]… Hehehehe. Maka apabila
pembaca saya – anda – menaikkan rating Kenduri Terakhir, saya faham. Tetapi saya minta maaf.
Anda membaca tanpa perlu merosakkan walau sehelai tisu pun, bukan? Hehehehe…
Saya sendiri tidak percaya blog ini boleh bertahan. Bukan
mudah mengisi dengan HANYA berkait tentang AlFalah, biarpun secara umum.
Pembacanya tidak seramai blog lain. Tidaklah menghairankan kerana skop yang
sengaja dikhaskan begitu. Tetapi tetap ada yang bukan pun belajar di AlFalah
atau tahu lokasi sekolah agama rakyat yang diasaskan hampir enam dekad lalu itu.
Terima kasih.
Orang asing yang berkenan atau ingin mengetahui
tentang AlFalah dan jalur-jalurnya yang saya catat secara bebas tetap ada.
Sekali lagi, terima kasih
Paling mengujakan ada juga pembaca – saban minggu – dari negara
luar. Dari negara Bang Obama paling ramai – mungkin pelajar Malaysia di sana.
Mungkin juga hamba Allah yang tertekan frasa ALFALAH pada enjin carian….. Tapi
di sebalik kemungkinan begitu, sebenarnya ada yang benar membaca dan memang mencari
untuk mengetahui, berdasarkan emel yang diterima. Juga, terima kasih….
Apa-apalah!
Dalam gembira, ada juga ralat di hati.
Semua lima emel yang saya terima, tidak satu pun datangnya
dari Budak Falah sendiri…..
Terima kasih dan selamat terus membaca.
2 comments:
Tak pa cipher. orang falah yg betul may be malu nak tulis apa2. tapi depa baca jugak
selamat ulang tahun. saya hargai usaha cikgu tulis blog ni. macm segar bila baca. cuma sayang saya bukan budak falah, tapi suka cerita zaman sekolah.
Post a Comment