Perjumpaan raya Alumni AlFalah kali ini menerima kehadiran beberapa muka baru. Di antara yang baru adalah Suwita Don [ tahunlepas dia muncul, tetapi ketika tuan rumah sedang bersiap untuk balik], Ustaz Md Daud Daei, Rohimi, Zawawi Hj Ali, Zamri Zain, Roslan Bakar, Fauzi Othman, Fazlan Rashid, Zulkifli Azizan, Aswad Lorongmayat, Lothfi Amir dan Shaidan Kedah. Yang perempuan pula termasuklah Aina Maya, Norrezini Nayan dan Cikgu Hasnah Zaini Hj Nawawi.
Yang lain , harap maaflah, tidak tercapai memori ketika mencatat ini.
Bagaimana pun untuk kali ini saya ingin mencatat tentang muka baru yang nama mukabukunya Pawang Nujum atawa dulu dulu dulu menggunakan nama Kuih Karas.
Dia ditunggu oleh kebanyakan peserta aktif di laman fb, grup Alumni. Bukan mereka terigau-igau akan wajahnya, tetapi di kalangan otai AlFalah, dialah yang sudi secara istiqamah menegur sapa secara bertulis di laman berkenaan.
Keistiqamahan dan keramahannya menarik perhatian ramai 'adik-adik' sehingga saya sering terpaksa menjawab tentang persona si Pawang yang lagi Nujum ini. Mereka bertanya semahunya dari pelbagai sudut dan saya menjawab sejujurnya yang mampu terhasil di hati...
Dua tiga bulan sebelum majlis dia sudah menguar-uarkan akan hadir. Makin terujalah ahli grup yang mengikuti perkembangan ini. Yang kesal tidak dapat hadir hanya menepuk dahi. Tidaklah dapat mereka mengenali dengan lebih dekat Nujum yang bijak berpawang ini. Ada yang berjanji dengan sama tua untuk beraya di rumah mertua terpaksa menelan liur. Budak Batas Paip yang teringin sangat bertemu muka dengan Pawang Nujum berdecit-decit mulutnya. Meskipun saya bukan pawang atau ahlil nujum, saya tahu apa yang ada di kepalanya: Kalaulah rumah besan emaknya itu hanya terletak di Alor Janggus, bukan di Ketereh!
Akhirnya hari yang ditetapkan tiba. Saya masih di rumah ketika Pawang menelefon bertanya lokasi majlis. Khabarnya dia sekeluarga telah terlajak sedikit. Saya memberikan panduan sekadar a la-a la kerana jarang saya dengar orang yang ada ilmu kepawangan tidak tahu perkara yang ada di depan. Kena pula dia juga mengaku pandai menujum... Ternyata sangkaan saya tepat. Dengan mudah sahaja dia menjumpai lokasi tujuan...
Saya terlewat ke majlis dikeranakan oleh beberapa kerana, termasuk kenduri di rumah emak saudara dan menunggu penghantaran ketupat yang saya tempah. Maka terlepaslah peluang untuk melihat reaksi rakan fb sebaik bersua dengan PN. Terlepas juga untuk mendengar ucapannya di bahagian awal majlis. Khabarnya dia telah memperkenalkan namanya yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara. Alangkah ruginya saya...
Maka, yang terjadi tetaplah terjadi. Pertemuan telah berlaku. Perkenalan telah tumbuh. Kemesraan mekar. Semoga ikatan ukhuwah sesama bekas budak sekolah agama rakyat itu tersimpul kukuh.
Semoga mereka bertemu, bermesra dan berpisah kerana Allah, di bawah kata kunci bersama, selamanya - AlFalah!
Terima kasih buat Pawang Nujum - juga semua otai yang saya sempat catatkan di atas, serta termasuk yang muncul buat kali kedua seperti Sofiahmad Din, Rafidi Romli dan Sharifah Maryani Syed Omar [ yang tidak hanya memperkenalkan anak, malah suaminya...].
Semoga jelak tidak bertamu di hati.
Pawang tidak akan muncul di majlis tahun berikutnya, mungkin seperti kebanyakan yang bermertuakan orang luar Kedah, telah termeterai janji bergilir tahun raya...
Kita tunggu tahun selepas itu...
Semoga ada lain kalinya.
PERTEMUAN
Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru.
Pertemuan berlaku
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.
(T.Alias Taib, Kuala Terengganu 1974)
Antologi "Di Penjuru Matamu"
1 comment:
Terima kasih semua
Post a Comment