Demikianlah anak yang baru memasuki alam remaja.
Apa saja yang disogokkan, akan diterima tanpa banyak soal. Baik atau buruk. Patut atau sebaliknya. Nasib baik kalau selepas penerimaan itu nantinya ditemui pembetulan. Kalau tidak alamatnya akan dibawa ke hujung nyawalah apa yang diterima itu.
Teringat kepada beberapa kes di mana pembetulan kefahaman berlaku di AlFalah. Ada kesalahfahaman itu yang diterima sejak kecil lagi. Semuanya melibatkan jenama atau cap.
Saya selalu ke kedai untuk membeli barang keperluan pelajar asrama. Setiap hari sekurang-kurangnya sehelai kertas dihulurkan. Di atasnya tercatat barang yang dikehendaki. Pelbagai bentuk tulisan dan ejaan pada senarai itu. Kalaulah saya tahu akan ada blog dan facebook, pasti saya simpan sebahagian kertas itu......
Dalam banyak senarai itu, akan terselit beberapa barang yang nampak sangat cap yang mereka tahu dan mahu.
Antaranya, maggi Cintan, sabun Lux Popinjay, breeze Fab, colgate Darkie , sabun Cap Kapak kuning dan stayfree Sanita!
Maggi Cintan ertinya belikan mi segera Cintan yang sepuluh sen lebih murah dari mi segera Maggi. Maggi bererti mi segera bagi mereka. Maka kalau saya terbeli jenama Vit's pun mereka terima. Biasanya tanpa bahan lain kecuali air sebagai kuah - kalau bergaya sedikit adalah telur - dibahamlah mi segera itu, dari mangkuk atau dari periuk! Yang kreatif dan eksklusif sedikit akan menggunakan lidi sebagai penyepit sebelum mi ditolak ke arah mulut yang sedia muncung menghalau kepanasan mi......Slurrrrp! Yang pernah mengalami saja akan mengingati detik terindah itu!
Breeze Fab. Kedua-duanya sama harga. Namun maksud mereka, serbuk pencuci ertinya Breeze manakala Fab itu adalah jenamanya. Sebab itu kalau dibeli serbuk pencuci Harimau pun disebut Breeze Harimau.
Sabun Cap Kapak cukup popular masa itu. Selain murah, ia lebih tahan lama berbanding serbuk pencuci. Bab bau, ada budak AlFalah ambil tau? Namun demi menjimatkan kos, ada juga yang menyuruh saya membeli Sabun Cap Kapak kuning. Mana ada? Yang sebetulnya adalah Sabun Cap Cangkul (kes plagiatlah ni) yang berwarna kuning, lebih murah. (Jangan tak tahu Sabun Cap Kapak berwarna hijau. Harganya 20 sen sebuku. Bayangkan pula harga sabun kuning itu...)
Ubat gigi bagi mereka maknanya Colgate. Selalu ditulis Darkie (sekarang Darlie) kerana lebih murah. Satu lagi Close-up jenamanya. Kalau silap beli pun tak apa asalkan colgate.......errr ..... asalkan ubat gigi.
Paling susah kalau kena beli roti. Macam-macam jenama ada dan kadang-kala yang ditulis tidak terdapat pula di kedai - selalunya di Kangkong. Paling popular Sanita dan Stayfree serta Tampon/Tampax. Whisper tak wujud lagi kot. Kalau roti ini, tuan kedai akan membalutnya dengan kertas surat khabar. Saya pun tak tahu kenapa, walaupun sudah berpengalaman 30 tahun membelinya..... [Sekarang tuan kedai selalunya masukkan dalam plastik hitam] Kalau niatnya tak bagi orang tahu, awal-awal lagilah orang tahu sebab sudah macam standard pula, kalau beli roti mesti dibuat begitu......[Alkisahnya, sekarang (2012) seorang jiran saya tidak boleh makan buah tembikai lagi. Setiap kali nak menyuap, katanya, teringat tembikai yang diambil berlakon bersama Adibah Noor dalam iklan Libresse.......he he he]
Namun yang cukup diingat adalah seorang pelajar, dalam keterujaan untuk menyertai rombongan keesokannya, telah menulis (dan diulangnya secara lisan apabila saya sengaja bertanya kesahihan kehendaknya itu) belikan " Kodak meka (maker?) Fuji"!
[Seorang pelajar, ketika disuruh membeli akhbar ketika pagi rombongan sampai di Lumut, meminta kepada apek di gerai, "Utusan yang Berita Harian punya......"
Alangkah indahnya negeri tercantik itu................kini.
1 comment:
ubat gigi pepsodent....
Post a Comment