Sesuatu yang belum cukup! Cukupkanlah dengan pantas! |
Dari Sbrg Nyonya ke Tmn Bersatu,
tempat dipilih untuk berjumpa;
sementara tibanya waktu itu,
beri sumbangan janganlah lupa.
Tidakkah kasihan kepada Mariam,
nak atur menu bajet tak tahu;
mujurlah si Zul suami pendiam,
cukup faham yang isteri mahu.
Zul dan Yam janganlah serik,
memang payah mendisiplinkan kawan;
minta sumbangan main tolak-tarik,
walaupun ramai bertaraf hartawan.
Walau ada Raihan di ibu negara,
bagi bantuan mengusahakan dana;
namun keresahan tidak akan setara,
kerana dia nun jauh di sana.
Mujur ada Helwi dan Wira,
dapatlah juga menumpahkan resah:
kalau tidak pasti bercempera,
tiada yang mahu berkongsi susah.
Lepas raya semua bertimpa,
bagaimana acara, makannya apa;
satu perkara yang mereka lupa,
kutipan dana jumlahnya berapa?
Masa diberitahu semuanya sambut,
lalu mengaku akan menyumbang;
dalam diminta secara lembut,
belum juga duit datang terbang.
Budak Falah semua peringkat,
marilah turut memberi khidmat;
biar berada jauh dan dekat,
sama berhimpun untuk hari keramat.
Bukan selalu dapat berjumpa,
semua telah beranak-pinak:
dapat bersalam bertegur sapa,
sambil menjamah juadah enak.
Kalau semua memberi kerjasama,
mudahlah penganjur membuat agenda:
pertemuan itu bukannya lama,
kiranya terlepas rindu di dada.
Agar majlis teratur sempurna,
jangan bebankan kepala pengendali;
jangan berkira hulurkanlah dana,
cukup masa bawa keluarga sekali.
Jika dana tidak mencukupi;
di dewan hanya tersedia sarbat;
malu pada orang depan, sisi, tepi,
konon budak Falah ramai yang hebat.
Kalau majlis berlangsung cantik,
tiap tahun pasti ditunggu:
AJK tetap bolehlah dilantik,
aturkan program tanpa diganggu.
Lama-kelamaan akan bertambah,
dewan sekolah mungkin tak cukup;
ketika itu tak perlu pun gelabah,
Stadium Darulaman pun kita cekup!
Tapi peringkat awal kenalah teroka,
kerjasamalah untuk grup Yam dan An ;
mereka tidak untung di segi angka,
doakan pahala sebagai ganjaran.
Bagaimana mengimpikan himpun ribuan,
kalau ratusan pun berbakul kerenah:
ini seloka sebuah pemberitahuan,
ingin melihat sesuatu yang tak pernah.
Inilah peluang bertemu rakan taulan,
yang terpisah oleh waktu dan keadaan;
pahit pedih atau rasa terkilan,
bukankah indah dimurnikan di perjumpaan.
Bertemulah guru yang masih ada,
bersalam dan mencungkil kenangan lalu;
janganlah ditunggu sehingga tiada,
tak tahu siapa yang pergi dulu.....
Pertemuan ini moga bertahan,
hubungan terjalin memberi kesan;
manalah tahu ketentuan Tuhan,
sesama AlFalah boleh berbesan..............
Paling tidak jika bermesra,
dapatlah kita memasang nawaitu;
undanglah kalau kenduri kendara,
apa lagi bila dapat menantu.
23 Ogos mungkin tak bersama,
tuntutan kerja, atau bergilir raya:
apa salahnya ikut menderma,
dapat pahala, kubur bercahaya.
Tahun ini datanglah yang boleh,
tahun depan mungkin berganda;
sekali bergerak jangan menoleh,
teruskan tradisi walau saya tiada.
Tidak berulang detik manis itu,
untuk kembali berbaju sekolah;
semoga dengan acara begitu,
tersemat bangga jadi Budak AlFalah.
Bagi yang memang tak dapat datang,
kali lain mungkin berkesempatan;
berdoalah kita pagi dan petang
ukhuwah terjalin seperti ikatan.
Mengenang manisnya hasil majlis,
masa bergerak bukan perlahan;
apa lagi dinanti, cepatlah tulis,
bank-inkan duit kepada Raihan!
Setakat inilah sumbangan hamba,
dinukil untuk membantu pengendali;
semoga sumbangan segera tiba,
ini saja seloka terakhir kali...
2 comments:
hai, awai nampak kali ni cari dana....
Salam. Generasi SPM antara tahun 1990/91 ramai ker?
Post a Comment