4 August 2012

Permataku Yang Hilang

Sejak sekolah rendah saya suka membaca. Teringat lagi, kalau ada buku tebal sampai ke sekolah, saya yang akan diberi peluang awal untuk membacanya, terutama oleh arwah Cikgu Hamzah Jaafar. Pernah sekali, semasa darjah lima, saya tertawa dalam kelas ketika sedang membaca sebuah novel. Perlakuan dua watak utamanya digambarkan secara amat menggelikan hati dan bila saya nyatakan sebab ketawa kuat itu kepada Cikgu Hamzah, dia terus mengambil terus buku berkenaan. Lama selepas itu, barulah saya memahami bahawa itu adalah novel dewasa. Entah macam mana boleh terlepas.....

Awal 70-an, kebanyakan kelas ada perpustakaan sendiri yang boleh ditutup buka macam bekas jualan yang dibawa oleh Pakistani manik koran dulu-dulu.[Entah siapa yang boleh menggambarkannya....] Antara buku yang saya baca di peringkat sekolah rendah yang masih saya ingat adalah novel  Bahagia Sesudah Derita, AHAD, Di Kolam Mereka Berkumpul, Pelayaran Kapal Bounty dan semestinya Hikayat Hang Tuah (edisi Jawi).


Di peringkat menengah, saya lagi hanyut dalam lautan buku. Apatah lagi ada novel yang wajib dibaca walaupun tidak ada dalam peperiksaan. Semasa tingkatan satu, kami diminta membeli/membaca novel Srengenge karya Shahnon Ahmad. Sehari saya sudah khatam! Masih jelas hingga kini watak Imam Hamad, seorang kaki burung, dan perkataan terkedang dalam novel tersebut. Ketika itu jadilah saya pengunjung tetap perpustakaan.  Selang sehari saya mesti membawa pulang sebuah buku tebal untuk dibaca. Selalunya dalam tempoh itu habislah dibaca.

Antara yang masih kekal dalam ingatan adalah Desa Pingitan [Ibrahim Omar], Interlok [Abdullah Hussain], Juara dan Perjudian [dua novel S Othman Kelantan], sebuah novel terjemahan And the Rain My Drink [kisah zaman darurat di Tanah Melayu] karangan Han Suyin, Tulang-tulang Berserakan [Usman Awang] dan Badan Bertuah [Ismail AlFalah @ Ismail Salleh], Biru Warna [Awang Had Salleh] serta Suboh [Atan Long].


Sambil itu saya mula menggemari karya Buya HAMKA setelah menghadam novel Tenggelamnya Kapal van Der Wijck, yang dibawa pulang dari Sabah [1974] oleh Paktih, bapa saudara yang bertugas di sana. Saya mula mencari novel Merantau Ke Deli dan Di Bawah Lindungan Kaabah

Secara berdikit saya mengumpul novel. Saya masih ingat novel pertama saya beli. Ongkosnya hasil dari menjual padi beberapa gantang di kedai Pakcik Hamid/Makcik Tom yang ketika itu beroperasi di dalam kawasan AlFalah - sekitar tapak surau sekarang.. Padi itu pula adalah dari usaha saya mengirai padi - [proses mengirai ini adalah pergi ke tempat bekas orang meletakkan tong/bekas membanting padi. Di situ pasti ada padi yang tercicir semasa orang membanting. Kemudian, selepas penuh seguni, bekas itu akan dipindahkan pula ke tempat lain untuk membanting. Begitulah berterusan. Saya (serta beberapa orang) akan pergi ke tempat yang ditingggalkan itulah, lalu mengirai jerami di atas tikar plastik kecil. Padi yang tercicir dari bantingan akan jatuh ke atas tikar. Itulah rezeki kami. Dengan berdikit dikumpul, akhirnya cukup segantang, dua gantang dan seterusnya. Padi itu saya jual ke kedai runcit berkenaan] Novel pertama dari titik peluh sendiri itu adalah SAGA, karya sulung Abdul Talib Mohd Hassan (AlTaha) yang memenangi Hadiah Pertama Sayembara Menulis Novel ESSO-Gapena 1976. Dalam dua tiga hari menekuninya habislah dibaca. Saya ulangi untuk menyerap detik-detik manis kehidupan Rahmat-Hisyam-Munirah dalam novel itu. [Saya kemudian menjadi peminat AlTaha dengan novel lainnya - termasuk Pelarian dan Sekuntum Bunga Sena serta Warisan yang sangat tebal itu].

Ketagihan saya berterusan. Saya mula menghadam karya A Samad Said [ Salina, Sungai Mengalir Lesu, Adik Datang dan Langit Petang], karya-karya Shahnon Ahmad [termasuk Tunggul-tunggul Gerigis, Sampah, Seluang Menodak Baung hingga nove-novel Islamiknya] karya Abdullah Hussain [Konserto Terakhir dan satu lagi -lupa-], novel Arca Berdiri Senja [Baharuddin CD], Kembali Bergelut [Muhd Mansor Abdullah], Janda Seribu Kirai dan Bila Lagi Kompang Berbunyi [Marwilis Hj Yusof], serta Warna Tinta dan antologi cerpen Pelarian Sang Hero [Johan Jaafar].

Selain Pelarian Sang Hero, yang turut mengandungi cerpen Laluba Street, Tokyo yang saya ingat sampai kini, banyak lagi antologi cerpen yang saya beli. Antaranya hasil karya Ajikik [B/Persendirian, yang saya minati cerpen bertajuk Demi Kepentingan Perut], Fatimah Busu, Shahnon Ahmad dan Azizi Hj Abdullah. Malah antologi karya terjemahan Cerpen Afro-Asia [paling terkesan cerpen Surat, karya penulis dari India] serta antologi cerpen/puisi yang memenangi Hadiah Sastera kebangsaan. Ada di antaranya saya sudah baca di dalam akhbar atau majalah, namun karya yang dipilih panel itu akan saya baca lagi di dalam antologi - seperti anak muda atau bapa tua yang membeli pelbagai cd atau kaset kompilasi yang berulang lagunya.

Saya pembaca tegar majalah Dewan Sastera sejak pertengahan 70-an hinggalah terhenti sepenuhnya apabila penerbitannya diswastakan oleh DBP beberapa tahun dulu. Selain cerpen dan fragmen novel serta puisi dan drama, ada rencana seputar kesusasteraan yang menarik. Di sinilah saya mula mengenali Zahari Hasib dengan karya dunia marhaennya, Dinsman dengan drama-drama Ana, Di Pulau Sadandi dan Bukan Bunuh Dirinya, selain karya Hatta Azad Khan, Kemala, Zakaria Ali dan seterusnya....

Setiap Ahad, cerpen-cerpen dalam Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman adalah santapan saya. Pernah beberapa kali, sekurang-kurangnya dua akhbar itu menyiarkan cerpen dari penulis yang sama. Paling diingati, S Othman Kelantan muncul dengan dua cerpen bertajuk SOH dalam MM dan CHIN dalam Utusan Zaman pada hari yang sama.Ceritanya masih saya ingat kini. Seronok dan puas membacanya, lebih-lebih lagi emak turut menumpang Utusan Zaman yang bertulisan jawi itu.

Cerpen-cerpen yang menarik akan saya simpan keratannya di dalam sebuah buku. Antara yang paling saya sayang adalah cerpen Revolusi Tolol karya Onn Abdul Rahman.

Demikianlah.

Apabila saya mula mengajar, cerita-cerita yang saya baca itu banyak membantu. Ketika masa senggang, saya akan bercerita tentang apa yang saya sudah baca. Teringat lagi, semasa mula mengajar pada tahun 1983, berhari-hari juga saya ambil untuk menghabiskan cerita Tenggelamnya Kapal van Dr Wijck kepada pelajar Peralihan. Kemudian saya bercerita berdasarkan cerpen, seperti Kipas Angin [Azizi hj Abdullah], Nasinya Tumpah [Fatimah Busu], Lagu Kitkitkit [Shahnon Ahmad] dan Longnya Laku [Baharuddin Kahar].

[Menghadami bahan sastera itu juga turut membantu, apabila saya mengajar Kesusasteraan Melayu untuk Tingkatan Empat dan Lima. Maklumlah, sebagai pelajar aliran sains semasa di sekolah menengah dahulu, manalah kami pernah belajar pelajaran itu].

Pada setiap peperiksaan penggal, pelajar yang mendapat tempat pertama hingga ketiga di dalam kelas saya, akan diberikan 3,2 dan sebuah novel masing-masing. Begitu juga jika ada pelajar asrama yang berjaya mendapat tempat begitu dalam kelas masing-masing, saya akan hadiahkan novel mengikut kedudukan yang sama. Rasanya yang paling banyak pernah menerima hadiah adalah Rafida Md Saad, dari Geng Gajah Mati, anak saudara Maryam dan Elias Awang. Selalunya dia mendapat tempat pertama dalam kelasnya - kebetulan kelas saya - maka dapatlah 6 novel sekali gus kerana dia termasuk pula dalam kategori budak asrama....

Demikianlah.

Pada masa yang sama, novel [yang saya anggap sebagai permata] dalam simpanan saya makin bertambah, termasuklah novel dari Indonesia. Paling saya senangi dan ingat adalah Manusia Harimau, Ali Topan dan Jangan Ambil Nyawaku.

Kerana tidak lagi dapat bercerita semasa senggang dek kesibukan yang entah apa, saya meminjamkan saja novel-novel itu kepada sesiapa pelajar AlFalah yang berminat membaca. Maka bertebaranlah novel di kalangan pencintanya......

Mula-mula, keluar masuk novel elok jalannya. Namun apabila kulit semakin usang malah koyak, tanpa jagaan, tanpa sistem pinjaman dan kutipan yang sempurna, akhirnya semua novel itu tersebar hingga ke tong sampah dan unggunan api......

Bangsa saya dan benda percuma ................

Mujurlah semua cerita saya simpan dalam memori sendiri - adalah dalam 50GB....

Akhirnya....... Lagi 'mau tanya ka?





















5 comments:

Anonymous said...

Salam, saya sedang mencari novel badan bertuah. Tahukah di mana saya boleh dapatinya?
Jabariah

cipher said...

Saya ada senaskhah yang dibeli pada tahun 1999 di kedai buku terpakai Georgetown tapi dipinjam oleh seseorang, sejak dua tahun lalu. Dua cara untuk dapatkannya, jika anda bernasib baik: kedai buku terpakai @ di DBP sendiri.

Anonymous said...

salam..saya juga sedang mencari buku itu (badan bertuah)..

Mohd Khaidzir said...

Saya ingin membeli sebuab buku cerita kanak2 lama era 60an berjudul DI KOLAM MEREKA BERKUMPUL. tolong info jika anda mengetahui buku itu masih ujud.

Unknown said...

Saya sedang mencari buku DiKolam Mereka Berkumpul secara on-line atau fizikal. Ada kah buku ini berada dimana2 jua perpustakaan.