1 September 2012

Awang Selamba: Di AlFalah Dan Di Mana-mana


Saya menonton Perfect Match - sebuah program tv dari China - awal pagi tadi. Tidak pasti sama ada siaran ulangan atau sebaliknya, kerana rancangan dari Tiongkok ini turut disiarkan pada waktu petang Sabtu. Sebenarnya, kalau ada kelapangan dan terbuka rangkaian tv berkenaan, saya akan menonton. Isinya, kalau dinilai, lebih baik dari drama seberang, berkisar dendam, dengki  serta penganiayaan kepada watak utama yang amat terlalu baik, yang berlarutan hingga 400 episod, dilangut oleh jutaan orang.

Kata kawan, pernah ada rancangan seumpama ini di Malaysia, tiru atau francais rancangan itu. Entahlah. Tapi kalau bab meniru, kita memang di tahap tersendiri.....


Meng Fei
Rancangan ini dihoskan oleh Meng Fei, seorang berkepala botak, dibantu oleh dua panel, seorang lelaki [juga botak] bernama Le Jia dan seorang wanita, Huang Han. Di auditorium yang dipenuhi penonton itu, di atas pentas,dibariskan 24 gadis [berusia di bawah 32 tahun] yang di depan a la rostrum masing-masing diletakkan lampu yang menyala.

Seorang jejaka [juga di bawah 32 tahun usianya] akan dipanggil ke tengah pentas, diberi peluang memilih seorang gadis  berdasarkan nombor rostrum masing-masing, yang dirahsiakan dari semua peserta tetapi diketahui oleh penonton. Jejaka itu pula kemudiannya dinilai oleh semua gadis tersebut. Jika mereka tidak menggemari lelaki berkenaan berdasarkan penampilan/karektornya ketika itu, lampu di depan itu boleh dipadamkan.

Co-hosts Huang Han (L) and Le Jia react during the recording ...
Huang Han dan Le Jia
Selepas itu, dipaparkan klip video pertama tentang lelaki tersebut. Hos akan memberi peluang para gadis yang belum memadamkan lampu, mengemukakan soalan kepada si jejaka atau kadangkala dua panel, yang mereka panggil cikgu akan mengomentar atau turut bertanya. Lampu di depan semua gadis berkenaan boleh  dipadamkan selepas menonton dan mendengar klip video dan jawapan jejaka.

Kemudian klip video kedua akan dipaparkan. Mana-mana gadis yang masih menyala lampunya tetapi tidak menggemari jejaka berdasarkan apa yang ditonton ataupun apa yang dihurai jejaka, bolehlah memadamkan lampu.

Selepas pusingan itu, sekiranya masih ada lampu menyala bererti si gadis berkenaan berkenan dengan si jejaka dan berharap dipilih menjadi teman yang mungkin berakhir dengan percintaan dan perkahwinan.Jika ada lebih dari dua lampu yang belum terpadam,  hos akan meminta jejaka berjalan bagi memadamkan lampu di depan gadis yang tidak pula menarik hatinya. Setelah tinggal dua lampu menyala, kedua-dua gadis itu akan dipanggil ke depan.dan diberi peluang untuk dipilih oleh jejaka, atau menolaknya sekiranya gadis- gadis itu bukanlah pilihannya pada awal tadi. Jika gadis pilihan awal jejaka tidak termasuk dalam dua itu, ia turut dipanggil ke depan. tetapi si jejaka akan berkemungkinan ditolak sekiranya memilih gadis itu kerana dia telah memadam lampu lebih awal tadi - bermaksud dia tidak berminat dengan jejaka.

Jika si jejaka memilih seorang dari dua yang mara ke depan tadi, mereka akan beriring keluar - tamatlah proses mencari teman/jodoh itu dengan jayanya.

Ada juga yang hingga ke akhir proses itu, pulang hampa, bukan kerana dua gadis tidak digemarinya. Sebaliknya selepas dua klip video dipaparkan dan dikemukakan beberapa pertanyaan, satu demi satu lampu dipadamkan hingga keputusannya 0/24. Dalam keadaan demikian, sendiri mau ingatla......


Siaran malam tadi, dari lima jejaka, dua pulang hampa. Seorang guru matematik yang penuh humor berusia 32 tahun, manakala seorang lagi, saya umurnya sekitar 28 tahun, tetapi kemunculannya mengingatkan saya kepada seseorang atau mungkin beberapa orang di AlFalah dan di mana jua....

Apa yang mahu dikatakan, kalau sudah berkait begitu....

Dia muncul berbeza dari semua jejaka yang pernah saya lihat. Hos sendiri mengakuinya. Selalunya lelaki akan muncul dengan memfokuskan pada kaki dahulu sebelum naik hingga ke muka - seluruh badan. Tetapi Awang [pastilah bukan nama sebenar] ini lain. Ditunjukkan klip video yang dilakonkannya, di mana dia bercanda di taman/tempat lapang dan di tepi tasik bersama gadis yang telah sepuluh tahun dinantinya, yang hadir dalam mimpinya, ketika dia berusia 18 tahun. Wajahnya dipaparkan tetapi wajah gadis pelakon itu dilindungkan.

Mimpi itu datang pada pukul 05:25:36 pagi! Lama dia menanti gadis itu dan berharap benar-benar hadir dalam hidupnya - 10 tahun. Dia mahu muncul di rancangan Perfect Match kerana gadis di dalam mimpi itu dilihatnya berada dalam senarai 24 peserta, dalam beberapa episod. Senarai gadis sebenarnya kekal setiap episod, cuma diganti setelah ada yang 'disunting'. Maka apabila Awang melihat rancangan di tv, nampak gadis dalam mimpinya dulu, muncul, maka dia mahu menyertai rancangan tersebut, walaupun dianggap bodoh oleh rakan-rakan.

Sebab itu kemunculannya dikatakan unik, tidak mengikut kebiasaan jejaka lain. Tidak juga ditanya siapa gadis pilihan awal - kerana pilihan hatinya telah sedia ada. Panel lelaki bertanya bagaimana dia boleh tahu waktu mimpinya hingga kepada saat. selamba saja jawapannya yang membuatkan saya tersenyum: Awang mengunci jam penggera untuk bangun pada pukul 05:30. Biasanya, dia akan mematikan jam itu selepas berbunyi selama 36 saat. Biasanya lagi, orang bermimpi lima minit sebelum terjaga......Jadi kiralah....


[Sedang saya tersenyum seorang itulah muncul satu mesej di telefon. Pukul 01:23:50. Bagaimana saya boleh tahu waktu mesej itu sampai hingga kepada saat? Dah ada tertulis di bawah skrin tu....Appala....hehehe. 
Mesej itu dari nombor yang tidak berdaftar dengan saya, tetapi saya tahu dia menggunakan kemudahan mesej broadbandnya. Soalannya mudah: dah tidur ka .. atau tulis blog. Berdasarkan ka dan atau tulis blog pada soalan itu, saya tahu mesej itu dari Budak Batas Paip. Dalam dunia maya ini, yang pernah saya kenal, dia sahaja yang bertanya begitu, pada waktu begitu.....Mungkin dia sedang melayari blog siasah kegemarannya...Saya tidak menjawab mesejnya sekalipun ketika itu muncul promo rancangan tv. Tapi masih tersenyum. Rancangan yang saya tonton itulah bahan entri blog saya nanti...... Tunggulah..Budak Falah, Budak Falah.....]

Setelah bersoal jawab sedikit tentang mimpi dan impiannya bersama gadis berkenaan, Awang , yang wajahnya bagi saya ada iras Dato' Lee Chong Wei edisi pipi sedikit berisi, diminta menyebut terus nombor gadis yang dimaksudkannya.

"Nombor 10!" Tegas dan yakin suara dan jawapannya.

Terpempan gadis manis putih melepak yang bernombor 10. Dia menekup mulut tanda terkejut atau terharu. Auditorium riuh. Ketika diminta menyoal, gadis itu sebaliknya menyuruh Awang meluahkan isi hatinya dahulu.

Bermula bahagian ini yang cukup meruntun hati saya.

Awang dengan selamba bercerita tentang mimpi dan penantian serta harapannya. Untuk gadis itu dia berkata,"sejak dulu, sekarang dan akan datang hanya awak kecintaan saya. Saya berjanji akan membahagiakan awak, akan bekerja keras......

Gadis bernombor 10 nampak terharu. Panel lelaki juga berkata, mungkin berdasarkan rupa paras dan penampilan yang terlalu berbeza, gadis itu terlalu 'tinggi' bagi Awang. Selamba lagi Awang menanti.

Hos bertanyakan kesudian gadis bernombor 10 untuk mengikut Awang. Si gadis mengambil masa yang lama, berfikir, mencari ayat yang sesuai. Akhirnya dia berkata, "Maaf, saya tidak sudi....." Awang tetap selamba.
Gadis itu menghargai niat Awang, tetapi tidak mungkin mencintai Awang hanya kerana mimpi si selamba itu. Mereka perlu berkenal dan memahami diri masing-masing dahulu. Ayat akhir ini sekadar melapik kata. Pasangan yang lain pun bukan terus berkahwin tetapi tetap beriring pergi - untuk berkenal dan saling memahami. Jelas, si gadis mengharapkan bukan Awang yang mengiringinya nanti....

Panel dan hos saling bergilir menyoal Awang. Semuanya secara selamba juga Awang menjawab. Dia puas kerana sudah mengeluarkan isi hatinya. Dia tidak kesal kerana telah melakukan sesuatu yang wajar. Dia merasa lega.Dia menerima hakikat cintanya ditolak

Hos yang terharu berkata, bukan semua orang mahu dan berpeluang melakukan seperti yang telah Awang buat!

Pada akhirnya, Awang mengeluarkan satu kenyataan atau kesimpulan terbaik, yang perlu kita fikirkan dan hayati. Selepas dia berkata itu, saya sebak. Teringat jejaka malang dalam entri Biarlah Rahsia, teringat beberapa lagi si malang [itu hanya tanggapan orang, sedang Allah mempunyai rahsia-Nya] di AlFalah dan tempat-tempat lain, yang kecundang dalam memasang impian indah bersama CDYA masing-masing......

Ketika Awang akan beredar, gadis tadi meminta untuk memeluk Awang. Dengan selamba, lagi, Awang melangkah menghampiri tempat gadis itu berdiri. Mereka berpelukan beberapa saat. Gadis-gadis yang lagi 23 menyaksikannya. Demikian pula penonton semua.Tidak terbilang penjuru mata insan di seluruh auditorium yang basah, namun si selamba bergerak keluar dengan tenang. Dalam temubual kemudiannya, dia mengakui hilang kata-kata untuk menghuraikan perasaan ketika si gadis impian memeluknya...

Apakah kenyataan akhirnya yang relevan dengan jejaka/gadis yang cintanya tidak kesampaian itu? Awang tidak menyebutnya sebagai ketentuan takdir. Maklumlah Awang orang dari Tiongkok.... Tapi susunan ayatnya cukup berkesan. Katanya:

"Menyayangi seseorang bukan bererti - semestinya - memilikinya!"

Fuhh! Selamba sungguh si Awang...... Dia mungkin membujuk hati tetapi memang pun demikian hakikatnya!

3 comments:

Anonymous said...

Superb blog! Do you have any suggestions for aspiring writers?

I'm hoping to start my own website soon but I'm a little lost on everything.
Would you propose starting with a free platform like Wordpress or go for a paid option?
There are so many choices out there that I'm completely confused .. Any suggestions? Thank you!

Here is my homepage ... Golf Courses In Daytona Beach Shores Florida

Anonymous said...

Way cool! Some extremely valid points! I appreciate you penning this write-up and
the rest of the website is also very good.

Also visit my weblog: http://stevenslodge.org/

Anonymous said...

Do you mind if I quote a couple of your articles as long as I provide credit
and sources back to your website? My blog site is in the exact same area of interest as yours and my users would genuinely benefit from some
of the information you provide here. Please let me know if this ok with
you. Thank you!

Feel free to surf to my site :: Golfnow.Com Portland